“Saya tidak terkejut”.
Itu kata-kata Datuk Razlan Razali kepada Nadi Arena apabila disoal berhubung pengumuman persaraan yang dibuat pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi baru-baru ini.
Prinsipal pasukan Petronas SRT itu dedahkan dia ada berbincang dengan Super KIP selepas perlumbaan GP Portugal, bulan lalu.
Jelas Razlan, cara Khairul Idham ketika itu menampakkan dia kehilangan semangat dan motivasi untuk teruskan kariernya selain khabar angin yang mengatakan dia ingin kembali ke Malaysia.
Namun, Datuk Razlan tetap bersedia untuk membantu Khairul Idham sekiranya pelumba itu membuat pusingan-u terhadap keputusannya untuk bersara.
Kontrak KIP bersama Petronas SRT tidak disambung musim depan selepas mengharungi musim yang mengecewakan tahun ini.
Selain tidak mengutip sebarang mata, dia juga dibelenggu kecederaan sehingga terpaksa jalani pembedahan untuk membuang jari kelingkingnya Ogos lalu dalam usaha mendapat semula rentak dan prestasi terbaiknya untuk berlumba.
Datuk Razlan Razali berkata keputusan untuk tidak menyambung kontrak pelumba itu amat berat namun ia dibuat berdasarkan prestasi buruknya musim lalu.
Super KIP buat penampilan pertamanya dalam saingan Moto3 pada 2016 dan mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama memenangi GP Argentina dan GP Jerman.
Oleh: Karami Kamel