Kerana Malas Belajar, Bapa Ketuk Kepala Anak Dengan 'Handphone' Dan Pukul Dengan Penyapu

Gara-gara anaknya yang enggan belajar, seorang bapa berusia 39 tahun mengetuk kaki kiri anak perempuannya dengan menggunakan telefon bimbit dan memukul kepalanya dengan penyapu serta memulas tangan kanak-kanak itu sehingga lebam.

kerana malas belajar, bapa ketuk kepala anak dengan 'handphone' dan pukul dengan penyapu

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Setapak, Kuala Lumpur pada 8 November lalu.

Lelaki itu kemudian didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap anak perempuannya yang baru berusia 10 tahun.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan bapa kepada sembilan anak itu menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Ketika ditanya hakim mengapa tertuduh bertindak sedemikian, menurutnya dia berkata: “ Anak saya tak nak belajar, tengok telefon (telefon bimbit) sahaja.”

Hakim tersebut menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan terbabit kerana ia merupakan kesalahan serius.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman penjara terhadap tertuduh kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi bukan mencederakan anaknya.

Tertuduh yang tidak diwakili mana-mana peguam itu bagaimanapun merayu hukuman denda dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

“Isteri saya sudah meninggalkan saya, jadi saya yang perlu menjaga anak-anak serta ibu bapa saya,” jelasnya.

Menurut fakta membabitkan kes itu, mangsa difahamkan telah diketuk di bahagian kaki kirinya dengan telefon bimbit dan dipukul di kepala menggunakan batang penyapu selain dipulas tangan kanannya ke belakang oleh bapanya.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa mangsa mengalami kesan lebam pada bahagian tangan kanan dan kaki kiri serta lecetan di kepala akibat tindakan tertuduh.

 

Sumber: [1]