Hanya Tiga Peratus Pencarum KWSP Dijangka Mampu Menampung Kehidupan Selepas Persaraan

Hanya tiga peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan mampu menampung kehidupan mereka selepas bersara.

hanya tiga peratus pencarum kwsp dijangka mampu menampung kehidupan selepas persaraan

Ia berikutan pengeluaran berkaitan COVID-19 yang dilancarkan sejak meletusnya pandemik tersebut telah memberi impak besar terhadap simpanan para pencarum.

Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, ramai ahli berumur bawah 55 tahun memiliki simpanan KWSP yang amat rendah berikutan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Walaupun dengan pandemik COVID-19, 80 peratus lelaki Malaysia dan 90 peratus wanita Malaysia akan mencapai umur 60 tahun, manakala satu daripada tiga lelaki dan dua daripada tiga wanita akan mencapai umur 80 tahun.

“Kini, kami menganggarkan hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang mampu untuk bersara,” katanya.

Jelasnya lagi, 54 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun akan mempunyai kurang dari RM50,000 dalam akaun simpanan mereka.

Sementara itu, majoriti yang mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencecah umur 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Tetapi, beliau mengakui pengeluaran-pengeluaran itu adalah dibenarkan disebabkan keadaan yang luar biasa.

“Kami amat bersimpati dengan nasib ahli kami dan berharap (pengeluaran itu telah mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk membantu mereka dari segi kewangan.

“(Melangkah ke hadapan), pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi ahli kami,” ujarnya.

 

Sumber: [1]