Mercedes merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta mewah terkenal di dunia dari Jerman. Ia turut menghasilkan beberapa model bas dan lori, dan dipasarkan ke serata dunia secara ekslusif.
Syarikat itu kini selangkah ke hadapan apabila memperkenalkan prototaip kereta berteknologi tinggi yang mampu dikawal menggunakan minda pemandunya.
Model Mercedes Vision AVTR mirip kereta sains fiksyen masa hadapan, mampu dikawal menggunakan otak pemandu dan dijana dengan kuasa elektrik. Bahagian luar dan dalamnya cukup futuristik dan kelihatan seolah-olah memandu di angkasa lepas.
Kereta yang masih diperingkat permulaan atau konsep ini menggunakan sistem Brain Computer Interface atau BCI, yang mana alat akan dipasangkan pada kepala pemandu, dan membenarkan ia mengawal aktiviti dalam kenderaan itu dengan hanya berfikir.
Walaubagaimana pun, ia bukan bermakna otak anda yang akan memandu kereta sepenuhnya, sebaliknya teknologi BCI ini digunakan untuk mengawal perkara asas yang tidak melibatkan pemanduan seperti menukar lagu pada radio atau menetapkan pencahayaan dalam kereta.
Mercedes juga sedang membayangkan kereta yang membenarkan pemandu memilih destinasi yang ingin dituju dengan hanya berfikir untuk tempoh berpuluh tahun akan datang.
Menurut Eksekutif Perniagaan Mercedes-Benz, Britta Seeger, teknologi ini telah meletakkan pengendalian kenderaan pada satu tahap berbeza dengan menggabungkan manusia dan mesin. Ia juga telah membuka ruang revolusi untuk interaksi intuitif manusia dengan kenderaan.
Sumber: [1], [2]