Sering kita terdengar mengenai kewujudan pelbagai tempat kaya sejarah yang punya cerita yang menyeramkan dan sukar dijelaskan.
Di Pulau Pinang, terdapat satu rumah agam yang dibina sekitar 1800-an oleh keluarga Ramsden yang kaya.
Cerita di sebalik kewujudan rumah agam tersebut bermula apabila keluarga Ramsden berpindah ke Tanah Melayu untuk mengembangkan lagi kekayaan mereka menerusi perniagaan ladang getah.
Kekayaan demi kekayaan yang diperoleh akhirnya membolehkan keluarga tersebut untuk membina rumah impian mereka, iaitu tak lain tak bukan, rumah yang dikenali sebagai Rumah Agam 99 Pintu ini.
Rumah tersebut mempunyai unsur reka bentuk unik yang mana ia dilengkapi dengan 99 buah pintu.
Namun, malangnya apabila pada 1948, cucu mereka, John St. Maur Ramsden mati dibunuh di dalam rumah tersebut.
John dikatakan ditembak dua kali di bahagian kepala, dan kejadian tragik tersebut berlaku tepat di tangga depan rumah agam tersebut.
Ada yang membuat spekulasi bahawa kematian cucu itu berpunca daripada kes cemburu oleh pesaing keluarga Ramsden, namun, misteri di sebalik kes tersebut tidak pernah terjawab hingga hari ini.
Menjelang 1950-an, Rumah Agam 99 Pintu ini ditinggalkan sepenuhnya oleh keluarga tersebut.
Terdapat orang yang mengatakan bahawa seluruh keluarga Ramsden meninggal dunia di kawasan perkarangan rumah agam tersebut, ibaratnya terkena sumpahan.
Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa rumah tersebut diduduki orang Jepun yang menakluki Tanah Melayu pada ketika itu lalu membunuh keluarga Ramsden.
Namun, kesahihan segala cerita ini masih belum dapat dipastikan sehingga hari ini.
Tapi yang pasti, sejak rumah agam ini ditinggalkan, ramai orang mula mengerumuni tempat tersebut untuk melakukan aktiviti paranormal.
Ada yang mengatakan bahawa roh keluarga tersebut berkeliaran di sekitar tersebut untuk menghantuinya.
Namun, terdapat cerita mengenai rumah agam tersebut yang lebih dahsyat.
Dikatakan bahawa setelah rumah agam itu ditinggalkan, terdapat seorang bomoh yang berpindah ke rumah tersebut untuk berkomunikasi dengan makhluk halus.
Sebaik sahaja berita tersebut sampai ke telinga masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan tersebut, mereka turut berkunjung ke rumah agam itu untuk menghubungi orang mati atau melakukan kerja-kerja ilmu hitam terhadap musuh mereka.
Pada hari ini, rumah agam yang pada suatu ketika pernah tersergah megah itu kini tidak lagi berpenghuni.
Ada yang mengatakan bahawa ketika jam berdetik pukul 12 malam, pintu ke-100 yang tersembunyi di dalam rumah tersebut akan muncul dan terbuka dengan sendiri.
Selain itu, terdapat juga cerita daripada saksi dan sumber yang pernah melakukan aktiviti paranormal di rumah tersebut.
Kata mereka, mereka pernah terdengar suara yang berbunyi seolah-olah gendang ritual dipukul di sekitar kawasan rumah tersebut, dicakar oleh makhluk yang tidak kelihatan, jeritan dan banyak lagi.
Tidak ketinggalan, ada juga yang berkongsi bahawa mereka pernah terdengar suara tapak kaki berlari menaiki tangga rumah tersebut yang kosong.
Sumber: Amy’s Script