Siapa sangka bangunan yang pasal asalnya dibina untuk dijadikan tuan rumah Festival Filem Antarabangsa Manila 1982 dan menempatkan teater 360 darjah berserta makmal filem dan pusat arkib filem ini akhirnya menjadi salah satu tempat yang dikatakan begitu menyeramkan di Filipina?
Ia dikenali sebagai Pusat Filem Manila.
Suatu ketika dahulu, isteri kepada Presiden Filipina ke-10, Ferdinand Marcos, iaitu Imelda Marcos membayangi tempat tersebut sebagai Cannes of Asia, namun takdir menentukan bahawa bangunan tersebut akhirnya menjadi salah satu bangunan paling dihantui di Manila dan simbol kekejaman rejim Marcos.
Dengan anggaran sebanyak $25 juta, kontraktor yang dipertanggungjawab ke atas pembinaan bangunan tersebut hanya diberi masa sesingkat tiga untuk menyiapkan Pusat Filem Manila.
Sepanjang tempoh tersebut, pembinaan bangunan itu berlangsung tanpa henti dengan khidmat seramai 4, 000 buruh yang rata-ratanya bekerja tiga syif setiap 24 jam.
Bayangkan, susulan itu, kerja yang sepatutnya selesai dalam tempoh enam minggu siap hanya dalam tiga hari!
Namun, kesingkatan tersebut jugalah dikhabarkan menjadi punca kepada tragedi bangunan tersebut yang masih diselubungi misteri sehingga hari ini.
Pada 17 November 1981 sekitar jam 3 pagi, perancah tingkat atas bangunan tersebut runtuh.
Kejadian tersebut menyebabkan sebilangan pekerja tersekat pada palang keluli tersebut manakala ada yang terkubur sepenuhnya di dalam runtuhan tersebut sementara ada yang lain terperangkap dalam simen dari bahagian pinggang hingga ke bawah.
Di sebalik tragedi tersebut, ada yang mengatakan bahawa Imelda percaya bahawa menyelamatkan kesemua mayat itu hanya akan melambatkan projek tersebut.
Berikutan itu, Betty Benitze, penyelia projek terbabit memerintahkan agar simen dicurahkan ke atas mangsa-mangsa tersebut.
Namun, beberapa bulan selepas berlakunya tragedi itu, Betty menemui kematian dalam sebuah kemalangan yang teruk.
Juga mengerikan, ada juga khabar angin yang mengatakan sekitar 168 lelaki telah dikebumikan hidup-hidup dan hanya 10 jam selepas kejadian berlaku, barulah penyelamat rasmi dan para wartawan dibenarkan masuk ke tempat terbabit.
Akibat kerana akses yang tertangguh itu, serta pemadaman media yang dikenakan bawah Undang-Undang Bela Diri Marcos, tiada rekod sebenar mengenai kemalangan itu yang pernah didokumentasikan.
Namun, terdapat satu rakaman mengenai kejadian tersebut yang kemudiannya muncul setelah pemerintahan Marcos berakhir pada 1986.
Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki dilihat terkubur dalam simen dari bahagian pinggangnya hingga ke bawah.
Untuk mengelakkan dia daripada berasa terkejut, sukarelawan menyanyikan lagu-lagu Krimas agar dia tetap terjaga.
Namun malangnya, ketika dia berjaya dikeluarkan selepas 10 jam kemudian, dia telah pun meninggal dunia.
Tandu yang membawa lelaki dilitupi simen itu turut dapat dilihat dalam rakaman yang sama.
Biarpun selepas kejadian itu, bangunan tersebut terus dibuka mengikut jadual dengan anjuran Festival Filem Manila pertama pada Januari 1982 yang melihat wajah-wajah terkenal Hollywood pada ketika itu seperti Brooke Shields dan George Hamilton sebagai barisan tetamu jemputan.
Lagi mengejutkan, teater tersebut sebenarnya masih berada dalam proses pembinaan hingga saat-saat terakhir pembukaannya.
Di sebalik kehadiran nama-nama glamor dalam industri filem sedunia, mereka semua tidak tahu bahawa di sebalik permaidani merah yang direntasi mereka itu, simen di bawah itu masih basah, dan di sebalik simen itu juga, ia sebenarnya melitupi ratusan mayat.
Biarpun begitu, ada juga tetamu yang mengenakan gaun panjang ketika acara tersebut menjumpai kesan cat di hujung gaun mereka.
Sejak dari tragedi tersebut, sejumlah ritual telah dilakukan di Pusat Filem Manila untuk mengusir roh-roh tidak tenteram yang berkeliaran di sekitar kawasan tersebut.
Terdapat saksi yang mengatakan bahawa mereka pernah terdengar suara tangisan dan terlihat bayang-bayang di sekitar bangunan tersebut.
Malahan, ketika bangunan terbabit berfungsi sebagai bangunan Hal Ehwal Luar Negeri, para pekerja dikatakan sering berada dalam ketakutan dan mendengar bunyi-bunyi aneh terutamanya ketika ketiadaan orang di situ.
Pada 2001, Pusat Filem Manila menjalani proses pemulihan dengan kos yang menelan lebih daripada $15 juta.
Kini ia dijadikan teater seni persembahan.
Agak-agak, kalaulah diberi kesempatan untuk menonton teater di sini, korang nak tak?
Sumber: [1]