Sering kali, kita disajikan dengan pelbagai cerita hiburan berkaitan K-Pop apabila ia berkaitan dengan negara maju Korea Selatan.
Namun tahukah anda, di sebalik panggung hiburan Korea itu, tersiratnya satu kisah atau mitos popular yang diketahui hampir segenap lapisan masyarakat Korea Selatan.
Ia berkenaan kisah rumah hantu Yeongdeok yang terletak di Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan.
Ramai yang mengatakan bahawa fenomena seram yang sering tercetus di rumah hantu itu berkaitan dengan poltergeist.
Buat mereka yang masih kabur akan maksud poltergeist, ia merupakan sejenis hantu atau roh yang sering dikaitkan ke atas gangguan fizikal, misalnya bunyi kuat dan objek yang dipindahkan atau dimusnahkan.
Misteri mengenai rumah hantu Yeongdeok yang tidak berkesudahan menarik perhatian golongan pemburu hantu dari serata dunia untuk ‘merasai’ sendiri pengalaman paranormal di rumah terbabit.
Rumah yang dahulunya dilihat sebagai kediaman selesa yang diperbuat daripada kayu selain lokasinya yang terletak di atas bukit hingga menghadap dua pemandangan indah yang berbeza – gunung dan pantai – kini berubah hampir 360 darjah.
Sejak ditinggalkan kosong pada tahun 80an, ia itu bertukar menjadi sebuah bangunan yang hanya menunggu masa untuk runtuh.
Menurut kisah yang sering diceritakan penduduk setempat, rumah tersebut merupakan tempat bersemayamnya hantu menakutkan, dipercayai seorang roh gadis yang dikatakan pernah membunuh diri di rumah tersebut. Kelibat roh tersebut juga dikatakan sering muncul di sekitar rumah itu.
Tambah mereka lagi, ia adalah merupakan perkara biasa sekiranya seseorang yang menjejakkan kaki di situ terdengar suara aneh, bermula dengan suara tangisan yang kemudiannya bertukar menjadi suara gadis tertawa hingga terlihat hantu wanita (yang dipercayai roh gadis muda yang pernah menamatkan riwayatnya sendiri di rumah tersebut), itu adalah perkara biasa.
Salah seorang saksi yang pernah mengunjungi rumah tersebut berkongsi bahawa dia pernah terserempak dengan dua ekor hantu yang berpakaian seragam tentera.
Ceritanya lagi, biarpun itu merupakan kali pertama dia melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, dia sudah dapat merasakan sesuatu yang aneh mengenai rumah itu, yang mana, sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, dia terdengar suara kaki melangkah dengan beberapa peristiwa aneh yang sukar untuk dijelaskan.
Kisah seram mengenai rumah berhantu itu ternyata tidak hanya menjadi bualan penduduk tempatan, ia turut menarik perhatian program antarabangsa berjudul I Wouldn’t Go In There yang disiarkan di National Geographic.
Menerusi program tersebut, ia didedahkan bahawa rumah tersebut sebenarnya merupakan tempat perkuburan ratusan askar pelajar yang terbunuh dalam perang Korea Utara-Selatan pada 1950-an.
Paling mengerikan, adalah apabila ratusan tentera itu dikebumikan secara beramai-ramai bersama anggota tentera lain yang masih bernyawa namun dikuburkan hidup-hidup. Sehingga kini, difahamkan bahawa ratusan mayat tersebut tidak pernah dipindahkan dari tempat asal mereka dikebumikan itu.
Lantaran itu, memadai sahajalah pelbagai kisah mistik tercetus di rumah itu hinggakan ia digelar sebagai salah satu tempat yang paling mengerikan di Asia.
Sumber: [1]