Seorang selebriti Youtube dari Indonesua, Rizki Nasution, dilaporkan sedang mencari pengasuh bagi menjaga beberapa patung puaka miliknya dengan tawaran gaji sebanyak 10 juta Rupiah sebulan.
Menerusi video tular di TikTok, seorang wanita yang sedang mengendong patung bayi bernama Alejandro menawarkan pekerjaan sebagai pengasuh bagi menggantikan dirinya dengan tawaran gaji sebanyak itu.
“Ada sesiapa berminat untuk menjadi pengasuh Alejandro kerana saya ingin berhenti demi memberi perhatian kepada keluarga.
“Gajinya amat berbaloi iaitu 10 juta rupiah (RM2,925) dan kerjanya amat mudah selain segala perbelanjaan termasuk pengangkutan akan ditanggung oleh Rizki Nasution,” kata wanita tersebut.
Menurut wanita itu lagi, Rizki memang gemar mengumpul pelbagai koleksi patung puaka.
“Mudah sahaja untuk menjaga patung ini kerana ia tidak pernah menangis, marah atau buang air.
“Bagaimanapun, anda perlu bersiap sedia dari segi mental kerana kadang-kadang ketika pukul 3 pagi, tidur anda akan terganggu. Anda tidak dapat tidur dengan nyenyak,” tambah wanita berkenaan.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai di media sosial yang rata-ratanya tidak sanggup untuk menerima pekerjaan itu meskipun ditawarkan gaji yang lebih tinggi.
Sumber: [1]