Seorang penumpang sebuah pesawat berdepan detik mencemaskan apabila tangannya tersekat dalam lubang pemegang cawan tempat duduk.
Kejadian berlaku kepada seorang warganegara Singapura yang dikenali sebagai Abraham, 29, dirakam sedang bergelut untuk mengeluarkan tangannya daripada tempat letak cawan, ketika menaiki penerbangan dari Singapura menuju ke Vietnam.
Video dirakam rakannya, Darsheen, sebelum mereka memanggil pramugari bagi memberi bantuan.
Pramugari cuba membantu mengeluarkan tangan Abraham daripada lubang tersebut, bagaimanapun gagal.
Beliau juga telah cuba meminta mentega untuk dijadikan pelincir bagi memudahkan dia mengeluarkan tangan daripada lubang berkenaan, namun pramugari memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai mentega dalam pesawat.
“Sejujurnya, ia berlaku disebabkan idea dia sendiri. Dia tertanya-tanya sama ada tangannya muat untuk dimasukkan ke dalam pemegang cawan itu, namun akhirnya tersekat,” kata Darshen pada hantaran video tersebut.
Situasi cemas itu berlaku selama kira-kira 10 minit sebelum Abraham akhirnya berjaya mengeluarkan tangannya secara normal.
“Terdapat seorang lelaki duduk di hadapan kami. Dia terkejut dan menyangka Abraham bergurau. Dia kemudian menyuruh Abraham berdiri,” kata Darshen.
Susulan daripada insiden yang tular, Abraham menerusi akaun Tiktoknya @ abrahamdelaure telah membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku hingga menimbulkan kekecohan.
Sumber: Tiktok