Pasangan Suami Isteri Dijatuhkan Hukuman Penjara 12,640 Tahun Akibat Menipu

Mahkamah Jenayah Thailand telah menjatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun kepada pasangan suami isteri ini atas tuduhan terlibat dengan skim penipuan simpanan pelaburan pada tahun 2019.

pasangan suami isteri dijatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun akibat menipu

Pasangan suami isteri, Wantanee Tippaveth dan Methi Chinpha telah didapati bersalah kerana menipu lebih daripada 2,000 individu dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak 1.3 bilion baht.

 

Namun begitu, mahkamah telah mengurangkan hukuman mereka kepada 5,056 tahun kerana mereka telah mengaku bersalah atas kesalahan jenayah tersebut.

pasangan suami isteri dijatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun akibat menipu

Bagaimanapun, undang-undang di Thailand membataskan hukuman penjara maksimum kepada 20 tahun bagi setiap individu, dan dengan itu Wantanee dan suaminya masih perlu menjalani hukuman penjara selama tempoh tersebut.

 

Selain pasangan suami isteri itu, tujuh lagi individu lain turut didakwa atas tuduhan terlibat dengan skim penipuan pelaburan palsu, tetapi mereka dibebaskan kerana tiada bukti yang kukuh.

 

Skim pelaburan tersebut telah menawarkan pulangan sebanyak 90 peratus, dan semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada bulan Mac hingga Oktober 2019 dengan membuat pengiklanan palsu di Facebook.

 

Skim itu mengajak orang ramai untuk melabur dalam satu simpanan yang dikatakan akan memberikan pulangan yang tinggi. Mangsa dikehendaki melabur dengan jumlah minimum sebanyak 1,000 baht dan dijanjikan akan menerima pulangan tambahan sebanyak 930 bath.

 

Untuk memperdaya mangsa, Wantanee dikatakan sering memaparkan video secara dalam talian sambil menunjukkan barangan kemas dan gaya hidup mewah miliknya.

 

Semua tertuduh dipercayai tidak menggunakan wang pelaburan yang dibuat mangsa untuk tujuan yang sepatutnya, tetapi mereka mengagihkan wang tersebut di antara mereka sendiri.

 

Sumber: Bangkok Post