Bekam adalah perbuatan mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor. Biasanya proses ini menggunakan cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu.
Namun tahukah anda, suatu ketika dahulu amalan bekam ini menggunakan tanduk haiwan, iaitu kerbau, sebagai bekas untuk mengeluarkan darah kotor dari badan seseorang?
Malah, seorang jurubekam dari Jakarta, Awin Saksena masih lagi menggunakan teknik itu, dengan meletakkan beberapa tanduk kerbau sebagai alat dalam proses membekam.
Menurutnya, rata-rata pelanggan yang datang untuk menerima rawatan dengannya mengadu mengalami pening, selsema dan sakit pada sendi. Malahan, teknik yang masih dipraktikkannya ini nyata membuatkan pelanggan berpuas hati.
“Tanduk digunakan dalam bekam sejak beribu tahun lalu dan tiada risiko dengannya, malah ia meningkatkan kitaran darah dalam badan,” kata beliau.
Suatu ketika dahulu, proses bekam menggunakan bahan semulajadi seperti tanduk kerbau, gading gajah dan juga buluh sebagai bahan. Ia seterusnya diproses membentuk cawan yang boleh melekat pada kulit dan tubuh.
Pun begitu, ramai pengamal perubatan masa kini tidak menggalakkan penggunaan tanduk, gading atau bahan semulajadi lain sebagai medium untuk berbekam kerana dikhuatiri tidak bersih dan tidak steril. Cawan dan bekas yang digunakan berulang-kali tanpa disteril boleh menyebabkan pencemaran silang berlaku.
Sumber: [1]