Pasangan Influencer Diusir Dari Bali Akibat Prank Pakai Mask Palsu

Akibat keseronokan tidak bertempat dengan merakamkan video prank memakai mask palsu hasil solekan sendiri, sepasang selebriti media sosial berpengaruh dibawa keluar dari Bali atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

pasangan influencer diusir dari bali akibat prank pakai mask palsu

Menurut pihak berkuasa di Bali pada Jumaat lalu, mereka menyatakan bahawa pihak mereka akan mengusir pasangan tersebut yang dikenal pasti sebagai YouTuber kelahiran Taiwan, Josh Paler Lin dan influencer yang berasal dari Rusia, Leia Se setelah aksi viral mereka mencetuskan amarah dalam kalangan penduduk tempatan.

Dalam video viral itu, Lin terkejut dengan reaksi orang ramai yang seakan-akan tidak perasan bahawa pasangannya itu, Se, sebenarnya mengenakan mask palsu berwarna biru yang dicat sendiri.

 Se dikatakan cuba ‘memperdayakan’ pihak sekuriti pasar raya tersebut dengan mask palsunya itu setelah ditolak daripada memasuki kedai tersebut sebelum itu akibat terlupa membawa mask.

Klip tersebut kemudiannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Bali, yang mana kes COVID-19 dan kematian akibat wabak tersebut kian meningkat.

Menurut undang-undang, orang asing boleh dikenakan denda sebanyak satu juta rupiah (RM283.57) atas kesalahan tidak memakai mask di Bali dan menghadapi deportasi terhadap kesalahan kedua.

Namun, pihak berkuasa Bali memutuskan untuk menghantar pulang pasangan tersebut ke negara asal mereka.

Menurut Lin yang mempunyai lebih 3 juta pengikut di YouTube, tujuan asalnya membuat video tersebut hanyalah untuk menghiburkan pengikutnya.

“Saya membuat video ini untuk menghiburkan orang kerana saya merupakan seorang pencipta kandungan dan menjadi tugas saya untuk menghiburkan orang,” ujarnya menerusi satu permohonan maaf yang dimuat naik dalam talian.

Tambahnya, “Namun, saya tidak menyedari bahawa apa yang saya buat sebenarnya boleh mendatangkan banyak komen negatif.”

 

Sumber: [1]