Lebih dari satu abad setelah ia dikirim, sekeping mesej yang disangkut pada burung merpati telah dijumpai oleh sepasang suami isteri di Alsace, Perancis.
Mesej yang disimpan dalam gulungan kecil itu ditulis dalam bahasa Jerman, dari seorang askar Prusia yang berpusat di Ingersheim, iaitu sebuah bekas bandar Jerman yang kini dalam negara Perancis.
Mesej tersebut bertarikh 16 Julai, dengan tulisan tangan yang sukar ditafsirkan dan tahunnya tidak jelas. Namun berdasarkan jangka waktu Perang Dunia Pertama, ia mungkin dikirim antara tahun 1914 dan 1918.
"Platun Potthof terkena tembakan ketika mereka sampai di perbatasan barat tanah perbarisan, platun Potthof melepaskan tembakan dan mundur setelah beberapa saat," tulis sebahagian daripada nota itu.
Setelah menemui kapsul mesej itu, pasangan Perancis berkenaan membawanya ke muzium di Orbey untuk melihat apakah mereka dapat mengetahui asal usulnya.
Penjaga muzium di Linge Museum, Dominique Jardy berkata, penemuan itu "sangat unik", dan empat salinan mesej yang menggunakan empat merpati mungkin dihantar pada masa itu. Dia juga berpendapat bahawa burung merpati yang membawa pesan khusus ini pasti "tersesat" tidak lama setelah ia terbang.
Keratan mesej itu kini akan dipamerkan kepada umum di Linge Museum.
Merpati pembawa, juga disebut "merpati homing," adalah alat komunikasi yang digunakan ketika perang dunia pertama dan kedua. Ia digunakan secara meluas, malah beberapa burung juga dilaporkan memperoleh pingat atas jasa mereka.
Sumber: Global News