Tuah tidak semena-mena mendatang pada seorang peniaga permata di Sri Lanka apabila dia pekerjanya menemui batu nilam bintang yang dikatakan terbesar di dunia.
Semuanya bermula apabila para pekerjanya menggali telaga bagi tujuan mencari permata.
“Mereka yang menggali telaga memberi tahu kami tentang beberapa batu aneh. Kemudian kami menemui spesimen besar ini,” jelas pemilik batu yang bernama Gamage itu kepada BBC.
Gamage yang merupakan peniaga permata generasi ketiga kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai penemuan berharga itu.
Namun menurut mereka, ia memerlukan lebih dari setahun untuk membersihkan lumpur dan kekotoran lain yang terdapat pada batu terbabit sebelum mereka dapat menganalisis dan mengesahkannya dengan lebih lanjut.
Menurut pakar yang meneliti batu seberat 510 kilogram dan 2.5 juta karat itu, ia dianggarkan memiliki nilai anggar hingga AS$100 juta (RM422,000,000) dalam pasaran antarabangsa.
Terang seorang pakar permata terkenal, iaitu Dr Gamini Zoysa, “Saya tidak pernah melihat spesimen yang begitu besar sebelumnya. Ia mungkin terbentuk sekitar 400 juta tahun yang lalu.”
Sebagai tambahan, ia juga kemudian diberi nama ‘Serenditipity Sapphire’.
Difahamkan penemuan tersebut berlaku Ratnapura, yang sememangnya terkenal sebagai ibu kota permata di Asia Selatan. Bagaimanapun, Gamage berkeputusan untuk tidak mendedahkan nama penuh atau lokasi terbabit atas dasar keselamatan.
Tahun lalu, Sri Lanka memperoleh sekitar setengah bilion dolar menerusi eksport permata, berlian potong dan perhiasan.
Sumber: [1]