Beberapa hari lalu, sekumpulan penyelidik dari China dilaporkan berjaya menghidupkan sistem ‘matahari buatan’ selama 17 minit, hingga suhuna mencecah lima kali ganda lebih panas berbanding matahari sebenar.
Sejak dari itu, timbul juga cakap-cakap dari orang ramai yang seakan mempertikaikan ciptaan negara itu, meskipun ia sebenarnya adalah satu reaktor pelakuran, bukannya matahari.
Ia termasuklah penularan satu klip video yang kononnya mendakwa China telah berjaya melancarkan matahari buatan mereka ke langit dan tersebar menerusi pelbagai aplikasi media sosial.
Dalam klip video tersebut, kelihatan orang ramai merakam imej cahaya kuning terbang ke langit, disertai sorakan dari orang ramai disitu.
Video tersebut nyata bukanlah pelancaran matahari buatan, sebaliknya pelancaran satelit di Wenchang Spaccraft Launch Site di Hainan, China pada 23 Disember lalu.
Dimuatnaik dengan kapsyen asal di Twitter berbunyi, “Hainan, Wenchang, Dec 23, 6pm. Ramai saksikan pelancaran satelit disini.”
Bagaimanapun ia telah disalah erti pengguna Twitter lain dengan mendakwa ia adalah matahari buatan China, hinggakan penyanyi rap Amerika, Chris Brown juga mempercayainya.
Bagaimanapun video tersebut telah dipadam selepas ia menimbulkan kekecohan ramai.
Matahari buatan’ yang disebut sebagai mesin dalam eksperimen Lanjut Pengalir Lampau Tokamak (EAST), direka dan dibangunkan sejak 2016, dan digunakan oleh para saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan eksperimen-eksperiman berkaitan pelakuran.
Saintis-saintis berharap mesin tersebut dapat digunakan bagi memanfaatkan kuasa pelakuran nuklear, yang mana dapat menghasilkan tenaga bersih tanpa batasan dengan meniru tindak balas yang kebiasaannya berlaku dalam matahari.
Sumber: [1]