Menurut kajian, jantung manusia akan jadi semakin mengecil jika seseorang itu tinggal lebih lama di angkasa lepas.
Para penyelidik menganalisis data yang dikumpul selama setahun ketika angkasawan bersara, Scott Kelly berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2015-2016. Data ini dibandingkan dengan data dari perenang elit, Benoît Lecomte yang berenang merentasi Lautan Pasifik pada tahun 2018. Penemuan ini telah diterbitkan dalam jurnal, Circulation.
Kajian itu menunjukkan bahawa kedua-dua lelaki ini kehilangan jisim pada bahagian ventrikel kiri jantung mereka dari masa ke masa. Pengkaji juga mendapati bahawa dalam kes Kelly, terdapat juga pengecutan pada saiz jantungnya.
Pengecutan jantung Kelly berlaku kerana adanya perbezaan graviti di bumi dan di angkasa. Graviti di bumi menjadikan jantung manusia perlu mengepam darah dengan lebih kuat.
Namun, berbeza dengan di angkasa, jantung tidak perlu bekerja kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan kerana graviti yang sangat lemah. Perubahan dalam keperluan mekanikal jantung menyebabkan jantung mengalami keadaan yang disebut sebagai atrofi iaitu keadaan bila pengurangan tisu berlaku.
"Jantung sangat responsif terhadap adanya graviti atau ketiadaannya,"
"Kedua-dua kesan graviti dan juga tindak balas adaptif terhadap latihan memainkan peranan penting, dan kami terkejut walaupun senaman intensiti rendah dalam jangka masa yang sangat lama tidak membuat otot jantung mengecil," kata ketua dalam kajian ini, Profesor Benjamin D Levine di University of Texas Southwestern Medical Center.
Fenomena ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan angkasawan masa depan jika mereka merancang untuk melakukan penerbangan jarak jauh.
Sumber: Daily Mail