Pilihanraya merupakan satu medium untuk rakyat memilih calon yang sesuai bagi menjalankan tugas menjaga kebajikan kawasan yang ditanding. Biasanya setiap kawasan mempunyai lebih daripada dua calon, sama ada dari bahagian kerajaan mahupun pembangkang.
Sedikit unik kisahnya di Rusia apabila calon yang bertanding untuk kerusi dewan bandar raya Saint Petersburg perlu berdepan dengan calon parti lawan yang bukan sahaja menukar nama supaya sama dengan namanya, malah turut menggunakan wajahnya untuk mengelirukan pengundi.
Taktik pelanduk dua serupa itu kerap digunakan ahli politik di Rusia, supaya sama dengan nama keluarga calon pihak lawan. Cara ini secara tidak langsung membuatkan pengundi keliru.
Boris Vishnevsky, calon yang akan bertanding bagi kerusi di bandar itu, perlu berdepan dengan dua calon lain yang menukar nama mereka kepada Boris Vishnevsky dan menggunakan wajahnya dalam poster kempen mengundi.
Ia bermaksud, terdapat tiga lelaki yang sama dalam poster kempen yang diletakkan di seluruh bandar tersebut.
“Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Semua ini dilakukan untuk mengelirukan pengundi agar mereka tersilap mengundi Vishnevsky yang palsu,” kata Vishnevsky sebenar.
Meskipun taktik ini dilihat sebagai penipuan politik, undang-undang Rusia tidak menghalang penukaran nama mereka meskipun sama dengan nama calon lawan yang bertanding.
Sumber: [1], [2]