Pasti ramai antara kita yang cukup malas untuk melipat kain baju yang diangkat daripada ampaian, hinggakan ia ‘menggunung’ untuk beberapa hari lamanya.
Tahukah anda, terdapat kisah seram dan mistik pernah dikatakan terjadi disebabkan timbunan kain baju yang tidak berlipat ini?
Seorang pengguna Facebook mengimbau kembali kisah yang pernah diceritakan datuknya suatu ketika dahulu yang mana seorang lelaki datang meminta pertolongan kerana cucunya dikatakan sudah hilang selama tiga hari berturut-turut.
Datuknya kemudian ke rumah lelaki itu sambil membawa kitab Al-Quran dan mendapati terdapat timbunan kain baju tidak berlipat atas katil di sebuah bilik. Sejurus membaca doa, datuknya cuba memasukkan tangan ke dalam timbunan baju berkenaan.
Secara tiba-tiba, datuknya merasakan seperti ada sesuatu yang cuba menarik tangannya dari dalam timbunan baju tersebut.
Tanpa berputus asa membaca ayat-ayat suci, suasana bilik ketika itu mula dipenuhi dengan bau hangit dan asap. Tidak lama kemudian, terdapat tangan seorang kanak-kanak mencapai tangannya dari dalam, sebelum ia berjaya ditarik keluar sepenuhnya.
Mengejutkan, kanak-kanak yang juga cucu yang hilang selama tiga hari itu keluar dari timbunan baju dengan kesan lebam penuh di badan.
Datuknya berkata lagi, ia juga sebagai peringatan supaya tidak membiarkan timbunan kain baju yang tidak berlipat dan menasihati agar dikibas dan ditepuk katil terlebih dahulu sebelum berbaring ke atasnya.
Meskipun kisah ini pernah menjadi tular sekitar tahun 2018, ia diulangkongsi oleh beberapa pengguna media sosial lain, hingga mendapat pelbagai reaksi warganet.
Tidak dapat dipastikan kesahihan cerita ini, namun pengajaran yang boleh diambil adalah kita perlu memastikan kekemasan rumah sentiasa terjaga, termasuk melipat kain baju yang sudah kering, daripada membiarkannya bertimbun begitu sahaja.
Sumber: Facebook Tajul Zulkarnain