Cerita Di Sebalik Fesyen Kasut Bertumit Yang Asalnya Untuk Lelaki

Barangkali anda pernah terdengar mengenai sejarah kasut tumit tinggi yang asalnya dibikin khas buat golongan lelaki.

cerita di sebalik fesyen kasut bertumit yang asalnya untuk lelaki

Namun, bagaimanakah pula kasut yang asalnya dibuat untuk kaum Adam itu akhirnya menjadi sesuatu yang cukup sinonim dengan golongan wanita pada hari ini?

Semuanya bermula sekitar abad ke-10 yang mana kasut tumit tinggi pertama kali dipakai oleh tentera Parsi.

Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa tentera Parsi pada ketika itu mengenakan kasut tumit tinggi pula ya?

Jawapannya, ia adalah untuk memudahkan mereka mengangkat kaki dan menstabilkan kedudukan diri ketika menembak busur dan anak panah mereka.

Sejak dari itu, kasut tumit tinggi menjadi lambang kedudukan sosial tinggi, kekuatan tentera selain rasa bergaya.

Senang cerita, golongan lelaki gemar berkasut tumit pada ketika itu kerana ia melambangkan kekuatan, kekayaan dan kejantanan.

Tidak lama selepas itu, tentera dan penunggang kuda Parsi kemudiannya membawa trend kasut tumit tinggi tersebut ke Eropah hingga menyebabkan golongan bangsawan Eropah pula untuk meminjam trend tersebut dan dijadikan sebagai taktik ketenteraan yang kuat, selain untuk kelihatan lebih tinggi.

cerita di sebalik fesyen kasut bertumit yang asalnya untuk lelaki

Raja Perancis, Louis XIV dikenali sebagai raja tumit.

Ketika pemerintahannya, semakin tinggi kasut tumit tinggi seseorang, dan semakin merah warna kasut tumitnya, maka semakin kuatlah pemakainya.

Pada 1670, Louis XIV meluluskan undang-undang bahawa hanya golongan bangsawan yang dibenarkan memakai kasut tumit tinggi.

Pada ketika itu juga, golongan wanita menjadi tertarik terhadap unsur-unsur maskulin dalam fesyen.

Akibatnya, mereka mula memotong rambut pendek dan memakai topi serta mengenakan kasut tumit tinggi yang diinspirasikan daripada gaya lelaki.

Namun, kasut tumit tinggi wanita adalah lebih sempit dan tinggi daripada kasut tumit tinggi lelaki.

Pada abad ke-17, golongan lelaki mula meninggalkan pakaian berwarna terang, perhiasan dan kain yang cantik, bertukar kepada pakaian yang lebih praktikal dan bersederhana.

Bermula dari situ, mula timbul perbezaan antara lelaki dan wanita melalui penampilan mereka yang dilihat begitu berbeza sekali.

Bermula tahun 1740, golongan lelaki berhenti memakai kasut tumit.

Walaubagaimanapun, kasut bertumit membuat kemunculan kembali sekitar pertengahan abad ke-19 yang mana golongan lelaki mengenakan kasut koboi bertumit rendah dan kasut platform.

 

Sumber: News18