Bengang Dimaki Penonton, Pengadil Bola Sepak Keluarkan Pistol

Gara-gara berang dimaki penonton susulan keputusan penalti yang tidak memuaskan, seorang pengadil bola sepak mengeluarkan pistol sebelum melepaskan tembakan ke arah tanah usai satu perlawanan di La Jigua, Honduras.

bengang dimaki penonton, pengadil bola sepak keluarkan pistol

Menurut laporan tempatan, lelaki terbabit dikatakan mengacu pistol bagi melindungi dirinya daripada diserang para penyokong yang marah di akhir perlawanan tersebut.

Menerusi satu video tular, kelihatan para peminat turun ke padang sementara pengadil berada di situ dengan pistol di dalam tangannya.

Dapat didengari juga orang ramai yang berteriak dan menjerit berikutan perbuatan pengadil terbabit yang tidak habis-habis melepaskan tembakan.

Seorang rakan terdekat difahamkan telah menyerahkan senjata tersebut kepadanya di akhir pertandingan kerana khuatir dia dipukul oleh para peminat.

Dalam pada itu, kedengaran juga seorang penyokong yang memanggil pengadil tersebut dengan perkataan carutan.

Identiti pengadil tersebut bagaimanapun tidak dikenali pasti dan masih belum jelas sekiranya dia bakal dikenakan sebarang tindakan disiplin atas tindakannya yang membahayakan itu.

Namun, tiada yang dilaporkan mengalami kecederaan ketika kejadian tersebut.

Sebagai maklumat, Honduras mempunyai sejarah keganasan dalam bola sepak yang digelar ‘Football War’ dan berlaku pada 1969, melibatkan Honduras dan El Salvador.

Ketika itu, kedua-dua pasukan kebangsaan tersebut bertemu dalam dua perlawanan bagi kelayakan Piala Dunia yang mana berlaku keganasan dalam kedua-dua perlawanan tersebut sehingga menyebabkan ketegangan yang berterusan dalam kalangan negara Amerika Selatan itu.

Dalam tempoh tiga minggu, kedua-dua negara tersebut mengisytiharkan perang antara satu sama lain, dengan perlawanan tersebut disifatkan sebagai mengapi-apikan lagi situasi yang sudah pun tegang antara dua pihak itu.

 

Sumber: [1]