Seorang bapa didakwa melepaskan ‘dendam’ yang disimpannya selama 18 tahun dengan meninggalkan puluhan ribu wang syiling di hadapan rumah bekas isterinya sebagai nafkah terakhir untuk anak mereka.
Menurut anak perempuan lelaki itu, Avery Sanford, ketika kejadian tersebut berlaku, dia sedang menjalani kelas pembelajaran.
“Dia menyewa sebuah treler. Dia berhenti di hadapan rumah kami dan memusingkan treler tersebut untuk menjatuhkan kesemua syiling tersebut di hadapan rumah kami, hingga membuatkan ibu saya berjalan keluar ketika perkara tersebut berlaku,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pada mulanya ibunya tidak mengecam ayahnya dan bertanya apa yang lelaki itu sedang buat di hadapan rumah mereka yang mana lelaki tersebut menjawab ‘Ini adalah pembayaran nafkah terakhir anak anda’.
Ketika itu, barulah ibunya itu mengenal pasti gerangan tersebut.
Ibunya kemudian mengutip kesemua duit syiling itu dengan menggunakan penyodok salji.
“Dia bukan sahaja memalukan ibu saya. Bahkan juga saya dan adik dan ia sangat menyakitkan hati kerana dia tidak memikirkan mengenainya terlebih dahulu sebelum bertindak sedemikian,” akui gadis remaja itu.
Bagaimanapun, pasangan anak beranak itu kemudian bertindak menyumbangkan wang sebanyak $5,000 (RM20,722) itu kepada sebuah pertubuhan kebajikan.
Menurut pengarah eksekutif organisasi Cathy Easter, beliau memuji tindakan ibu dan gadis remaja itu menerusi Washington Post dengan berkata, “Mereka berupaya mengubah pengalaman negatif itu, dan apa yang disaksikan oleh anak perempuannya, menjadi sesuatu yang positif.
“Mereka menemui cara untuk berbuat sesuatu dengan situasi tersebut dan tidak berasa hancur mengenainya,” kata Easter.
Sumber: [1]