Ayam Jantan Kena Saman Kerana Berkokok 200 Kali Sehari

Sudah menjadi lumrah seekor ayam jantan akan berkokok pada waktu pagi dan petang. Namun siapa sangka perbuatan itu mengundang saman dan dibawa ke mahkamah.

 

Seekor ayam jantan telah dibawa ke mahkamah selepas jiran tidak tahan lagi mendengar bunyi kokokan ayam itu sehingga 200 kali sehari.

ayam jantan kena saman kerana berkokok 200 kali sehari

Pasangan suami isteri di Bad Salzuflen dekat barat Jerman bertindak menyaman ayam milik jiran mereka kerana bunyi bising sehingga mereka tidak dapat berehat dengan tenang.

 

Ayam jantan bernama Magda itu akan mula berkokok sekitar waktu jam 8 pagi setiap hari dan tidak berhenti berbunyi sehingga waktu senja.

 

Selepas bertahun-tahun cuba berunding dengan jiran mereka mengenai bunyi bising ayam itu, Friedrich dan Jutta akhirnya membawa kes itu ke mahkamah.

 

“Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.

“Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi,” kata Friedrich.

 

Menurut peguam mereka, ayam jantan terlebih aktif seperti Magda ini tidak boleh berada di kawasan kejiranan. Malah ada seorang lagi jiran terpaksa berpindah dua tahun lalu kerana tidak tahan dengan bunyi bising yang dibuat Magda.

 

Bunyi bising Magda direkodkan mencecah 80 desibel, bersamaan bunyi bising restoran yang dipenuhi pengunjung atau jalan raya dengan kesesakan lalu lintas.

 

Kes saman ini akan didengarkan hakim Mahkamah Daerah Lemgo tidak lama lagi.

 

Sumber: Kosmo!