Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai cerita saudara kembar yang bersatu semula setelah terpisah selama lebih kurang 20 tahun, iaitu sejak mereka bayi lagi.
Segala-galanya bermula pada 2001 apabila tiga bayi termasuk sepasang kembar dilahirkan di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Namun, kerana kecuaian kakitangan, ketiga-tiga bayi tersebut dipindahkan, tanpa memeriksa semula yang mana satukah bayi kembar.
Bagaimanapun, pasangan gadis kembar bernama Adryani Iwani Ibeni Yanin dan Noratirah Husin itu bersatu jua setelah 20 tahun terpisah.
Menurut Adryani, dahulunya, dia pernah menghadiri kelas motivasi ketika zaman persekolahan, yang mana pada ketika itu, terdapat pelajar lain yang mengatakan bahawa rupa parasnya serupa dengan rakan mereka yang bernama Noratirah Husin.
Rakan-rakan Noratirah mendedahkan bahawa mereka agak terkejut melihat kemiripan mereka berdua sehingga akhirnya mereka berkongsi akaun Instagram Noratirah kepadanya.
“Saya memberitahu kakak kembar saya tentang perkara itu dan dia bersetuju bahawa saya dan Noratirah kelihatan sama, tetapi ketika saya memberitahu ibu saya tentang hal itu, dia tidak mengendahkannya. Jadi, saya membiarkannya dan menganggap kemiripan kami sebagai pelanduk dua serupa,” kata Adryani.
Dia kemudian mengabaikan perkara tersebut.
Namun pada Mac 2019, pasangan gadis kembar itu bertemu di pasar raya. Kedua-dua mereka berasa terkejut melihat kemiripan antara satu sama lain.
Perkara tersebut membuatkan Adryani lagi terdetik hati untuk mencari kebenaran, yang mana dua beradik itu mula bertukar-tukar mesej melalui Instagram setelah bertemu untuk membincangkan lebih banyak perkara.
“Ini menyebabkan Noratirah menghubungi saya melalui Instagram dan sejak itu, kami telah membincangkan banyak perkara dan mendapati bahawa terdapat terlalu banyak persamaan antara kami untuk dianggap kebetulan. Jadi, kami memutuskan untuk melalukan ujian DNA,” katanya.
Dengan persetujuan ibu bapa mereka, kedua-dua keluarga itu akhirnya memutuskan untuk melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Hasil ujian DNA menunjukkan bahawa Noratirah dan Adryani adalah 99.99% kembar.
Menerusi ujian yang sama juga, diketahui bahawa Adryana Iwani yang sebelumnya dikenali sebagai saudara kembar Adryani sebenarnya bukanlah ahli keluarga kandung. Sejak 19 tahun lalu, kedua-dua mereka telah dikenali sebagai kembar yang tidak serupa.
Bagaimanapun, keluarga tersebut tetap menganggap Adryana Iwani sebagai anggota keluarga mereka dan memintanya untuk terus tinggal bersama mereka.
Sementara itu, Noratirah, yang sebelumnya tinggal di Desa Pulau Kundur, Kota Bharu, telah kembali bersama keluarga kandungnya sejak Januari tahun ini.
Sumber: [1]