Dah lebih seminggu Lee Zii Jia cipta kejutan menjuarai kejohanan All England, tapi kejayaannya masih dirasai. Selepas dikritik hebat akibat prestasi yang tidak konsisten pada beberapa kejohanan di Thailand, Januari lalu, Zii Jia mendiamkan semua kritikan tersebut apabila menewaskan pemain nombor 1 dunia, Kento Momota pada peringkat suku akhir kemudian menang ke atas pemain nombor 2 dunia, Viktor Axelsen.
Peningkatan prestasi Zii Jia pada kejohanan All England baru-baru ini cukup mendadak. Roslin Hashim berpendapat corak permainan perseorangan lelaki negara itu lebih tenang berbanding kejohanan sebelumnya dan seolah-olah langsung tidak berada dalam tekanan.
Bekas pemain nombor 1 dunia itu menganggap ketiadaan pemain Indonesia pada kejohanan itu mungkin membantu Zii Jia. BWF mengarahkan semua pemain Indonesia menarik diri selepas mendapati mereka mempunyai kontak dengan pesakit positif COVID-19 dalam pesawat yang dinaiki. Ia sekaligus menyaksikan pemain perseorangan mereka, Anthony Ginting terkeluar daripada kejohanan itu.
Jika dilihat, perjalanan Zii Jia pada kejohanan All England memang akan berdepan Kento Momota pada suku akhir dan berdepan Anthony Ginting pada aksi separuh akhir. Untuk rekod, Zii Jia masih belum pernah menewaskan wakil Indonesia itu sepanjang kariernya. Roslin Hashim berpendapat insiden tersebut merupakan ‘turning point’ bagi Zii Jia yang seakan-akan mendapat semula keyakinannya.
Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim juga tidak tolak kemungkinan Zii Jia mampu capai lebih banyak kejayaan selepas ini. Namun, Zii Jia perlu sokongan daripada semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan BAM. Roslin berpendapat jika Zii Jia menerima sokongan seperti yang diterima Datuk Lee Chong Wei, tidak mustahil untuk pemain muda ini mengikut jejak langkah legenda badminton negara tersebut.
Zii Jia bagaimanapun tidak selesa apabila dibandingkan dengan Chong Wei. Juara All England 2021 itu menganggap dirinya tidak setanding Chong Wei dan dia ingin menjadi dirinya sendiri. Zii Jia juga menjangkakan yang tiada pemain mampu mengikut jejak langkah karier Chong Wei untuk tempoh beberapa dekad ini.
Apa pun, kita harapkan Zii Jia mampu kekalkan prestasi terbaiknya ini. Biarpun ada cakap-cakap mengatakan kemenangan Zii Jia pada All England dibantu dengan ketiadaan nama-nama besar dari China, Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan, Zii Jia tetap muncul juara. Kalau kehadiran pemain nombor 1 dan 2 dunia pada kejohanan itu tidak cukup besar, mungkin tiada apa yang dapat memuaskan hati mereka. Di mata kami, anda wira negara!
Oh, selamat hari lahir yang ke-23 tahun Lee Zii Jia. Semoga terus mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini dan mampu melakar sejarah sendiri tanpa dibayangi mana-mana pemain lain!
Oleh: Karami Kamel