Harapan peminat sukan badminton Malaysia untuk mendapatkan pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei mungkin tercapai. Bayangan pengganti legenda badminton negara itu hadir dalam bentuk Lee Zii Jia. Zii Jia yang hanya buat penampilan keduanya pada kejohanan All England membuat kejutan apabila muncul juara selepas kalahkan pemain nombor 2 dunia, Viktor Axelsen daripada Denmark. Perseorangan lelaki utama negara itu menang set pertama 30-29 sebelum tumpas pada set kedua 20-22. Namun atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu bangkit pada set ketiga dengan kemenangan mudah 21-9 untuk jadi pemain ke-6 dari Malaysia menjuarai kejohanan tersebut. Ia juga merupakan antara aksi final terhebat yang pernah disaksikan pada kejohanan itu.
Kejayaan Zii Jia ini hadir pada waktu yang boleh dikatakan tepat. Tak perlu ke belakang terlalu jauh, cukup sehingga Januari lalu. Zii Jia dikritik hebat kerana gagal pamer prestasi konsisten pada 3 kejohanan lalu termasuk Jelajah Dunia Akhir yang menyaksikan dia tersingkir pada peringkat kumpulan.
Zii Jia mendiamkan semua kritik tersebut pada kejohanan All England kali ini. Pada peringkat suku akhir, dia tewaskan pemain nombor 1 dunia, Kento Momota dengan straight set. Kemudian dia singkirkan Mark Caljouw daripada Belanda juga dengan straight set untuk berdepan Axelsen pada final. Selain memburu gelaran pertama dalam kejohanan utama, Zii Jia juga berdepan misi balas dendam. Kerana tahun lalu yang merupakan penampilan pertama Zii Jia pada All England, dia tewas pada pusingan separuh akhir kepada Axelsen.
Kritikan yang diterima Zii Jia sebelum ini mungkin sedikit keras. Mungkin dia dibayangi kehebatan Datuk Lee Chong Wei yang memenangi pelbagai gelaran sambil memikul harapan seluruh rakyat Malaysia pada bahunya. Perlu diingat bahawa Chong Wei mula menuju ke kemuncak kariernya pada 2006 yang mana beliau mula memenangi beberapa kejohanan. Pada 2006, Chong Wei berusia 24 tahun. Nak tahu berapa umur Lee Zii Jia sekarang? Zii Jia akan menyambut hari lahir ke-23 nya pada 29 Mac ini.
Jika perjalanan karier Chong Wei sukar, tak mustahil apa yang perlu dihadapi Zii Jia berkali ganda lebih sukar. Sekiranya dia berjaya meraih pelbagai gelaran pun selepas ini, pasti akan ada di antara peminat yang membandingkan dia dengan Chong Wei.
Legenda badminton negara itu mengucapkan tahniah kepada Zii Jia ekoran kejayaannya. Chong Wei juga berharap Zii Jia sentiasa bekerja keras dalam usaha meraih lebih banyak gelaran pada masa depan. Turut mengucapkan tahniah ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tan Sri Muhyiddin sifatkan Zii Jia sebagai wira negara kerana menjuarai kejohanan berprestij itu. Beliau turut lahirkan ucapan tahniah kepada BAM dan juga barisan kejurulatihannya atas kejayaan tersebut.
Dalam pada itu, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria gembira dengan kejayaan perseorangan lelaki utama negara itu. Namun beliau ingatkan Zii Jia agar sentiasa merendah diri dan bekerja keras kerana perjalanan karier seseorang pemain boleh diibaratkan sebagai marathon dan bukan larian pecut.
Semoga Zii Jia akan menjadikan kejayaan menjuarai All England ini sebagai suntikan semangat untuk meraih lebih banyak kejuaraan selepas ini. Kepada penyokong, harap-harap kita tidak lah terlalu cepat menghukum dan mengkritik Zii Jia selepas ini. Kita juga yang dambakan pengganti Chong Wei sebelum ini kan? Buat masa ini, Zii Jia merupakan perseorangan lelaki yang paling hampir dengan Chong Wei. Takkan lah kita langsung tak nak bagi peluang kepada dia kan?
Oleh: Karami Kamel