Penyanyi rap, Yonnyboii, 24, masih membawa isterinya, Nik Nazira Narriman hadir ke acara hiburan, meskipun isterinya itu kini sedang sarat hamil dan menunggu hari untuk melahirkan anak sulung mereka.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, beliau bimbang untuk meninggalkan isterinya bersendirian di rumah, memandangkan usia kandungan isteri sudah mencecah sembilan bulan.
"Usia kandungan isteri sekarang sudah sembilan bulan dan boleh dikata dia menunggu hari untuk bersalin. Jadi, kami kini dalam keadaan bersiap sedia saja menanti masanya bayi dilahirkan.
"Malah, segala persediaan seperti pakaian ibu, barangan keperluan bayi dan sebagainya untuk ke hospital sudah saya siapkan di dalam kereta. Sekiranya Nazira dah rasa sakit nak bersalin, kami akan terus ke hospital saja," katanya.
Tambah Yonny, sepanjang isterinya hamil, mereka berdua jarang keluar sebaliknya banyak menghabiskan masa di rumah.
"Sejak isteri disahkan hamil, saya memang memperlahankan karier seni dan masa kami banyak duduk di rumah saja. Tapi, apabila isteri dah sarat hamil, doktor pun galakkan agar dia banyak berjalan bagi memudahkan proses kelahiran nanti.
"Kami sebenarnya tak keluar selalu dan hanya sekali-sekala saja apabila saya ada acara atau majlis hiburan yang perlu dihadiri. Lagipun, kalau asyik duduk di rumah pun akan bosan nanti. Sebab itu, ada masa sesuai kami tetap keluar juga," katanya lagi.
Yonny yang bakal menimang cahaya mata lelaki berkata beliau sudah mempunyai nama untuk anak sulung mereka malah satu lagu istimewa untuk bayi juga sudah siap dihasilkan.
Dalam pada itu, Yonny turut meminta agar urusan kelahiran anak mereka dipermudahkan serta berjalan dengan lancar.
Terdahulu, Yonny dan Nazira telah bernikah pada 20 November 2021, selepas sebulan bertunang.
Sumber: HMetro