Tukang Cuci Di Masjid Negara Jadi Tumpuan Selepas Didapati Pandai Bertutur 5 Bahasa

‘Jangan menilai buku dari kulitnya’. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk diungkapkan buat seorang wanita bernama Nirmaningsih Mawi,  yang bekerja sebagai tukang cuci biasa di Masjid Negara ini.

tukang cuci di masjid negara jadi tumpuan selepas didapati pandai bertutur 5 bahasa

Wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia yang tular di media sosial itu rupanya berusia 59 tahun serta pernah bekerja sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun. Namun, disebabkan pandemik yang melanda, Nirmaningsih kehilangan pekerjaan tersebut.

"Saya pernah menganggur selama empat bulan dan disebabkan itu, saya rebut sahaja peluang kerja yang ada.

“Bayangkan kerja sebagai pemandu pelancong adalah cinta pertama saya, jadi untuk hilangkan rindu pegang mikrofon... berinteraksi dengan pelancong, sambil kerja (cuci masjid) saya turut ambil peluang tegur, berbual dan bantu pelancong yang hadir melawat dengan menggunakan kelebihan boleh berkomunikasi pelbagai bahasa.

“Jadi, kesempatan ini saya nak betulkan.. ada netizen kaitkan saya seorang guru, pensyarah dan macam-macam lagi, itu tak betul,” katanya.

Menurut Nirmaningsih, dia berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak usia tiga tahun.

Minatnya yang mendalam terhadap bahasa Jepun membuatkannya berusaha mencari jalan untuk mengambil kursus bahasa.

“Saya memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu bahasa Inggeris pada 1990, bahasa Jepun pada 1994, Arab (2010) dan Jerman (2011).

“Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui,” katanya.

Wanita itu juga berkongsi tips untuk kekal fasih dalam semua bahasa yang dikuasainya. Menurutnya, seseorang itu tidak boleh malu dan perlu sentiasa berusaha untuk berkomunikasi dengan individu yang bertutur dalam bahasa tersebut.

“Lagi satu...tip untuk senang hafal apa pun...ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.

“Inilah yang saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini...jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara...jika tidak buat memang boleh lupa.”

 

Sumber: BHarian