Ekoran daripada pengumuman kebenaran merentas negeri oleh Perdana Menteri baru-baru ini, orang ramai dilihat mengambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti ke destinasi pilihan masing-masing.
Disebabkan itu, tiket-tiket perkhidmatan transit seperti bas, kapal terbang dan kereta api kini laris terjual hingga ada yang sudah penuh ditempah.
Antara tiket yang laris terjual adalah tiket bas dari Temerloh menuju ke Kuala Lumpur.
Menurut seorang kerani kaunter Trans Malaya Ekspres di Terminal Bas Temerloh, Helmi Azman berkata tiket ke Kuala Lumpur bertarikh 15 Oktober paling laris terjual jika dibandingkan dengan tarikh-tarikh lain.
Katanya lagi, jualan tiket dijangka akan terus meningkat dalam beberapa hari lagi khususnya pada hujung minggu.
"Suasana di terminal ini kembali meriah selepas sunyi dan lengang sejak beberapa bulan lalu, kami baru sahaja memulakan perjalanan hari Selasa," katanya.
Difahamkan tiket ke Kuala Lumpur menjadi pilihan kerana sebelum pengguna memilih destinasi lain di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Selain ke Kuala Lumpur, tiket menuju ke Pantai Timur khasnya Kelantan turut laris terjual di syarikat perkhidmatan bas lain.
Orang ramai yang akan melakukan aktiviti rentas negeri pada hujung minggu ini dinasihatkan untuk berhati-hati ketika memandu dan amalkan pematuhan kepada SOP seperti penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika ditempat awam.
Sumber: [1]