Pengacara, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom akui tidak terlintas di fikiran untuk menggantikan Jihan Muse secara tetap dalam program terkenal Gegar Vaganza.
Katanya, dia menggalas tanggungjawab mengacara program itu untuk musim ini dengan gaya tersendiri.
“Saya dapat tawaran untuk mengacarakan GV9 adalah bulan Februari lalu.
“Apa yang saya boleh kongsikan ialah ketika mendapat tawaran itu saya amat gembira dan bersyukur.
“Ini adalah rezeki dan pihak produksi perlu cari pengganti sementara untuk Jihan kerana dia bercuti bersalin anak kedua,” ujarnya kepada portal Syok.my.
Tambah Kak Lina, dia berharap penonton menerima gaya pengacaraannya bersama Nabil Ahmad yang sudah sembilan musim mengendalikan program itu.
“Ramai orang tahu DNA program GV, perlu ada gandingan hos yang mantap iaitu Nabil dan Jihan serta barisan produksi yang luar biasa.
“Saya ini hanya jiran baru yang menumpang sekejap di rumah orang, namun apa yang saya boleh beri jaminan, saya akan kemudikan GV9 dengan cara saya sendiri,” katanya.
Program Gegarvaganza 9 akan bersiaran selama 10 minggu dengan membariskan penyanyi yang berpengalaman seperti Shila Amzah, Tomok, Dina Nadzir dan ramai lagi.
Saksikan GV9 disiarkan secara langung setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD serta Astro Go.