Tertinggal Lengkuas Di Pasar, Tak Pakai Seluar Jeans Antara Punca Cerai

Di dalam Islam, penceraian merupakan sesuatu yang tidak disukai tetapi dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu.

tertinggal lengkuas di pasar, tak pakai seluar jeans antara punca cerai

Talak merupakan suatu jalan penyelesaian yang terakhir sekiranya suami dan isteri tidak dapat hidup bersama dan mencari kata sepakat untuk mecari kebahagian berumahtangga. Terdapat banyak alasan yang diberikan bagi pasangan yang bercerai, dan antaranya adalah hanya kerana tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di pasar.

 

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd yang berkata, banyak lagi alasan remeh-temeh yang menjadi punca penceraian pasangan Islam, khasnya di negeri Terengganu.

 

Antaranya adalah isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami dan juga isteri tidak memakai seluar jeans.

 

“Disebabkan terlampau marah, suami yang tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas berkenaan tiba-tiba melafazkan cerai semasa di atas motosikal.

“Bagaimanapun, rata-rata suami menyesal dengan tindakan itu dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk dengan pasangan masing-masing,” katanya.

 

Meskipun penceraian dengan alasan remeh dan tidak munasabah sering terjadi sejak dari masyarakat dahulu, suami dinasihatkan untuk banyak bersabar dan tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati jika berhadapan dengan masalah, lebih-lebih lagi apabila dengan pasangan masing-masing.

 

Suami juga diingatkan untuk tidak menggunakan lafaz talak meskipun untuk mendidik, mengajar mahupun bergurau dengan isteri. Tolak ansur dan tidak ego adalah paling utama agar sesebuah perkahwinan dapat diselamatkan. Pasangan juga boleh mendapatkan nasihat berkaitan hal rumah tangga daripada mereka yang lebih arif, termasuklah unit kaunseling di pejabat agama daerah masing-masing.

 

Setakat tahun lalu, kes penceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak kemunculan pandemik dengan rata-ratanya masalah kewangan adalah penyebab utama.

 

Sumber: [1], [2]