Satu stadium canggih berkapasiti 10,000 penonton bakal dibina di Putrajaya, hasil kolaborasi dua badan induk bolasepak antarabangsa iaitu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi satu kemaskini di AFC, stadium berkenaan bakal dibangunkan seluas 6.172 hektar, kira-kira 30-kilometer dari Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mempunyai keluasan kira-kira 580,000 kaki persegi dengan 10,000 tempat duduk, ia bakal mempunyai standard berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA, lengkap dengan grandstand, boulevard dan atrium yang akan menempatkan penonton, pejabat pentadbiran dan parkir bawah tanah.
Selain itu, staidum ini turut menyediakan kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas sukan serta tarikan air pancur di pintu masuk stadium.
Stadium itu juga akan dibina daripada dana peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasa bola sepak negara ahli persatuan (MA) dan persatuan serantau (RA). Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia pula bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek ini.
Tidak dapat dipastikan bila agaknya stadium ini akan siap dibina namun yang pasti pembinaan stadium ini pasti memberi satu lembaran baharu khasnya kepada pembangunan sukan bola sepak tanah air.
Sumber: Astro AWANI