Suruhanjaya Perhidmatan Awam (SPA) dalam satu kenyataan memaklumkan telah membatalkan keputusan Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) serta menyenarai hitam calon yang didapati terlibat dalam salah laku integriti semasa menduduki peperiksaan itu.
Menurut SPA, ia selepas hasil pemantuan dan siasatan pihaknya yang mendapati ada calon tidak bertanggungjawab semasa menduduki peperiksaan itu.
“SPA telah mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam WhatsApp dan Telegram, bertujuan menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus PSSE,” menurut kenyataan itu.
SPA juga memandang serius perkara tersebut dan menegaskan bahawa permohonan calon terlibat dengan aktiviti tidak sihat itu bagi sebarang jawatan lain juga tidak akan dipertimbang.
Pencarian di laman sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp juga mendapati terdapat beberapa kumpulan telah diwujdukan bagi memuatnaik soalan, jawapan dan jalan kerja bagi soalan penyelesaian masalah.
PSEE merupakan ujian yang dilakukan secara atas talian sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan dalam sektor awam, merangkumi beberapa modul seperti pengetahuan am, daya penyelesaian masalah dan kefahaman Bahasa Inggeris.
Sumber: [1]