Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menzahirkan rasa kesal kerana tidak dapat menunaikan permintaan sebilangan peminat yang meminta beliau menambah hari dan juga jumlah tiket bagi konsert beliau yang dijadualkan pada 9 Mac depan.
Beliau dalam pada itu memohon maaf dan memaklumkan pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai faktor.
“Tidak ada pengumuman baharu hari ini. Saya minta maaf tidak dapat tambah hari dan jualan.
“Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu.
“Ini saya dan team sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin tambah hari,” katanya.
Tambah beliau lagi, beliau akan cuba untuk menganjurkan konsert selama dua hari andai ada lagi konsert akan datang.
“Saya mohon maaf ramai tidak berkesempatan sebab tiket sudah habis dijual.
“Insya-ALLAH, konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai konsert pada 9 Mac depan, beliau berkata penyanyi dari Indonesia, Judika akan menjadi penyanyi undangannya pada konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Tambah lagi, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di bumi Palestin.
Sumber: Astro AWANI