Setelah melancarkan karya berjudul “Terakhir Buat Teman” bersama Hazama, penyanyi Siti Sarah Raissuddin kembali lagi dengan lagu terbarunya yang berjudul “Semakin Benci Semakin Cinta”.
Selain gerangan pelantun lagu “Semakin” itu yang sedang menghitung hari untuk menghitung cahaya mata keempatnya, turut menangkap perhatian menerusi karya ini ialah Sarah yang berganding suara bersama pasangannya, Shuib, setelah sekian lama.
“Semakin Benci Semakin Cinta” merupakan single kedua yang pernah dirakamkan pasangan selebriti itu, yang mana, single pertama mereka yang berjudul “Cinta Itu Nyawa” dahulunya pernah dilancarkan sekitar 2012.
Berkongsi mengenai single tersebut, kata Sarah, “Lagu ini sudah dirakamkan sejak setahun lalu, lebih tepat ketika negara kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama dahulu.
“Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri apabila dia yang ingin melihat kami berduet. Malah lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.
“Ikutkan selepas siap dirakam memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat,” ujarnya.
Biarpun lagu terbabit barangkali memberi gambaran kisah cinta, bagaimanapun ia bukanlah gambaran sebenarnya mengenai kehidupan yang dilayari bersama pasangan itu.
“Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Dalam tempoh ini wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak tetapi perasaan itu sendiri.
“Dengan keadaan negara kita yang berhadapan dengan pandemik ini, pasti ramai yang melalui situasi yang sama. Bukan sekadar tidak dapat bertemu dengan orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang,” tambah Sarah.
Dalam pada itu, Shuib yang turut sama teruja dengan gandingan bersama isterinya itu setelah hampir sedekad, berharap agar lagu tersebut dapat disambut baik oleh para pendengar.
“Kalau mahu kata puas hati, saya memang puas hati dengan penyampaian saya dalam lagu ini. Cuma kita tidak boleh harap perkara yang sama daripada semua pendengar. Bukan apa selepas sembilan tahun lagu terakhir saya dengan isteri, harus diakui memang agak mencabar.
“Apa pun saya bersyukur dengan pelancaran lagu ini. Selain berharap lagu “Semakin Benci Semakin Cinta” dapat diterima dengan baik oleh peminat,” luah suami kepada Sarah itu.
Sebagai makluman, “Semakin Benci Semakin Cinta” diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.
Tonton lirik video “Semakin Benci Semakin Cinta”: