Seniwati Datuk Rosnani Jamil tidak menahan sebak selepas maestro muzik Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab tidak sempat menyaksikan penubuhan sebuah galeri seni istimewa yang kini sedang dalam perancangan.
“Mak (Rosnani) dengan arwah terlalu rapat. Kebetulan mak baru balik dari Penang, merasmikan galeri untuk Allahyarham Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
“Orang ingat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sahaja, jadi dalam pada itu kita berbicara memikirkan mengenai arwah sebab dia pun orang Penang, disebabkan itu persatuan mengatakan insya-Allah, sekarang kita sudah selesai buat untuk Nordin dan kita akan buat untuk Ahmad Nawab pula.
“Kami sangat gembira bercakap mengenai dia, kemudian tadi anak telefon katakan Ahmad Nawab sudah tiada. Jadi saya tak tahu nak cakap apa, saya sedih tidak dapat berjumpa pun,” katanya.
Dalam pada itu, Rosnani juga akui sering menziarahi rumah Allahyarham sahabatnya itu sebelum isteri arwah meninggal dunia.
Ahmad Nawab dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, kira-kira pukul 3.15 petang akibat sesak nafas.
Sumber: Kosmo