Penampilan penyanyi, Naufal Azrin pada konsert minggu pertama musim kelima Big Stage pada Ahad, nyata telah mengecewakan beberapa peminatnya.
Walaupun Naufal berjaya memberikan persembahan yang mantap, namun segelintir peminatnya kecewa dengan penampilannya yang memakai rantai dan mendedahkan bahagian dadanya.
Semasa konsert di Dewan Majlis MBSA, Shah Alam, Naufal tampil mempersembahkan lagu Casablanca. Namun, penyanyi berusia 23 tahun itu hanya memakai sut merah tanpa baju, menampakkan bahagian dadanya dan turut mengenakan rantai sebagai aksesori.
Penampilan itu menarik perhatian peminatnya yang kecewa kerana Naufal sering dianggap sebagai artis yang baik, tambah pula latar belakangnya yang belajar di sebuah sekolah agama Maahad Tahfiz di Hulu Kelang serta berlatar belakangkan pendidikan agama.
Di Instagram, Naufal menerima pelbagai komen dari peminat yang meluahkan rasa kecewa selain mengharapkan Naufal kembali dengan imej seperti dahulu.
Pada konsert pengenalan Big Stage 2023 lalu, Naufal menduduki kedudukan keempat dengan markah 75.67 peratus.
Terdahulu, Naufal bermula dalam bidang muzik sejak berusia 9 tahun dengan memilih genre nasyid dan merupakan bekas pelajar di Maahad Tahfiz Imam Syafie di Hulu Kelang, Selangor. Pada tahun 2019, beliau menyertai kumpulan nasyid Zayne yang ditubuhkan sebagai anak didik kumpulan nasyid terkenal, Inteam.
Sumber: Kosmo! / Instagram Naufal Azrin