Pelancong Ke Langkawi Wajib Buat Ujian Pengesanan COVID-19

Susulan pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan, dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September, setiap pelancong kini wajib menjalani ujian pengesanan COVID-19.

pelancong ke langkawi wajib buat ujian pengesanan covid-19

Menurut satu kenyataan media oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan program tersebut berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

 

“Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan untuk mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 September 2021 menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan melalui cara-cara berikut:

1. Menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; atau

2. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan; atau

3. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.”

 

Tambah beliau lagi, ujian pengesanan ini akan dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7-17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva. Kumpulan kanak-kanak ini MESTI bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

“Bagi mereka yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada,” tambah beliau.

 

 

Sumber: [1]