Enggan Beban Pelanggan, Pak Cik Di Kelantan Ini Sanggup Kekalkan Roti Canai 50 Sen Selama 32 Tahun

Mulianya hati seorang warga emas ini yang menjual roti canai pada harga 50 sen walaupun sering berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah sejak 32 tahun lalu.

enggan beban pelanggan, pak cik di kelantan ini sanggup kekalkan roti canai 50 sen selama 32 tahun

Kongsi Md. Kamil Abdullah, 64, yang tinggal di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu, Kelantan, tujuannya berbuat sedemikian adalah sebagai tanda tanda perkongsian rezeki dengan penduduk setempat yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Tambahnya, ia juga adalah salah satu bentuk ‘saham’ akhirat dan amal jariah untuk kedua-dua orang tuanya yang telah meninggal dunia.

“Saiz roti canai kosong ini sama seperti dahulu dan tidak pernah berubah walaupun harga bahan mentah naik. Setiap hari saya mampu menjual kira-kira 800 hingga 1,000 biji roti canai sehari.

“Selain itu, saya turut menghasilkan martabak yang dijual pada harga RM3. Setiap hari saya mampu menjual sekitar 300 biji setiap hari. Alhamdulillah, hasil keuntungan jualan ini sudah memadai untuk menampung pembelian bahan mentah,” katanya kepada portal akhbar tempatan.

Namun, kerana harga murah itu juga, dia terpaksa mendapatkan bantuan anaknya bagi menebar roti bersama serta menghasilkan roti canai menggunakan dua kuali untuk memenuhi tempahan.

“Kedai saya dibuka seawal pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam dan tutup pada hari Selasa,” ujarnya.

 

Sumber: Utusan