Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memerlukan ramai pekerja untuk bekerja dari rumah dan hanya segelintir daripadanya dibenarkan hadir dan perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Meskipun begitu, menurut laporan masih wujud segelintir majikan yang memaksa pekerjanya untuk hadir ke pejabat seperti biasa, sekaligus melanggar SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Memetik laporan dari Astro AWANI, pendedahan dibuat oleh seorang pengguna Twitter ketika ditanya sama ada beliau boleh bekerja dari rumah setelah kerajaan mengumumkan arahan tersebut bagi mengekang penulara wabak COVID-19.
Namun apa yang dibalas oleh majikannya cukup mengejutkan kerana katanya bukanlah KKM yang membayar gajinya sebagai pekerja.
"KKM ke bayar gaji bulan-bulan?" , dakwa pengguna Twitter itu dalam satu ciapan yang tular baru-baru ini.
Nyata, ia bukan sahaja terjadi kepada seorang pekerja, malah kebanyakkan pengguna lain turut berkongsi pengalaman bagaimana mereka dipaksa majikan untuk tetap hadir ke pejabat meskipun tidak tergolong sebagai sektor perkhidmatan penting.
Seorang bekas pekerja bank mendedahkan bagaimana beliau dipaksa mengedarkan brosur promosi di kawasan berisiko tinggi COVID-19 semasa PKP dan seorang lagi pengguna Twitter berkongsi majikannya berjanji akan membayar "elaun khas" bagi menarik kakitangan masuk bekerja ketika PKP.
Lebih membimbangkan, ada pekerja yang mendakwa rakan sekerjanya ada yang menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 juga dipaksa untuk datang bekerja seperti biasa.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah mengumumkan 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus sektor swasta diarahkan bekerja dari rumah mulai 25 Mei, selebihnya dibenarkan hadir dengan SOP yang ketat.
Sumber: Astro AWANI