Negara Kini Berdepan Gelombang Ketiga, Rentas Negeri Punca Kes Naik Selain Varian Delta

Negara kini berdepan gelombang ketiga COVID-19 dengan kemunculan varian baru susulan daripada kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan lalu.

negara kini berdepan gelombang ketiga, rentas negeri punca kes naik selain varian delta

Jelas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Greater Klang Valley Special Task Force Datuk Dr Chong Chee Kheong, trend peningkatan COVID-19 yang berlaku sekarang merupakan kesan kumulatif berdasarkan semua aktiviti yang berlaku sepanjang tempoh terbabit.

“Peningkatan kes ketika ini disebabkan kesan apa yang berlaku pada bulan lalu, termasuk tempoh inkubasi virus dalam komuniti.

“Kelonggaran PKP 3.0 serta sektor ekonomi untuk membantu rakyat, serta hari perayaan yang menyaksikan terdapat pergerakan rentas negeri membawa kepada peningkatan kes dalam tempoh dua hingga empat minggu ini,” jelasnya.

Selain itu, antara punca yang turut menyumbangkan kepada meningkatnya kes termasuklah penularan varian Delta.

“Lebih banyak varian Delta juga menyebabkan peningkatan kes yang tinggi.

“Paling utama ketika ini adalah untuk memastikan kurangnya impak terhadap sistem kesihatan awam kita.

“Dua bulan lepas, kes di Lembah Klang menyumbang 60 hingga 70 peratus kes di Malaysia, sekarang turun 50-60 peratus.

“Jadi peningkatan juga berlaku di beberapa negeri ketika ini,” terang beliau.

Berikutan itu, tambah beliau lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan telah menambah kapasiti katil dan peralatan perubatan termasuk bekalan oksigen serta hospital medan bagi memastikan setiap pesakit dapat dirawat.

 

Sumber: [1]