Penyanyi dan pelakon, MK K-Clique akui populariti dirinya kini sudah bertukar kepada isteri, Siti Hajar Syeikh Nordin, 26, selepas mereka selamat mendirikan rumah tangga.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, kebanyakkan kandungan video yang dikongsikannya membabitkan isteri berjaya menarik tontonan netizen yang rata-rata memberi reaksi positif.
"Kalau mengenai populariti selepas kahwin, jujur rasanya isteri saya yang lagi popular. Ini kerana, kalau perempuan, mereka lebih selesa dengan perempuan (kempen iklan di media sosial) dan itu adalah benda baik.
"Alhamdulillah, orang tengok isteri saya dari sudut yang baik, misalnya, daripada segi pemakaian, walaupun dia (isteri) tidak cari populariti itu," katanya.
MK juga tidak memberi sebarang halangan andai isterinya mahu terlibat dalam dunia lakonan suatu hari nanti.
"Syukur dengan apa yang diberi (perhatian ramai), dia hargai. Maksudnya, apabila kami berada di luar dan tiba-tiba ada orang tegur, dia (Siti Hajaar) hargai teguran itu yang juga bagi saya satu kebaikan.
"Pada saya, apa saja perkara baik dan positif selagi membawa kepada kebaikan, memang saya tiada halangan untuk isteri melakukannya termasuk berlakon. Tapi, berlakon dia sebenarnya tak minat," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau akui kini berasa bahagia bersama isteri tercinta dan orang ramai boleh nilai daripada setiap apa yang dikongsikan olehnya di media sosial.
"Kebahagiaan jelas terpancar, itu yang saya tunjuk. Ini kerana, orang menilai daripada apa yang kita kongsi terutama di media sosial. Lagi pula, sekarang memang orang suka tengok media sosial.
"Jadi, kita tunjuk yang baik-baik sajalah. Maka, saya yakin yang baik-baik juga orang akan fikir terhadap kita dan ia adalah doa. Itu yang utama, doa yang baik-baik," katanya lagi.
Sekadar info, MK dan Siti Hajar selamat mendirikan rumahtangga pada 15 Jun 2023 selepas kira-kira empat tahun mereka berkenalan.
Sumber: HMetro