Pelakon, Mawar Rashid akhirnya berjaya menemui adik kandungnya selepas 23 tahun terpisah.
Menurut Mawar, adik kandungnya yang dikenali sebagai Aireen, merupakan anak bapanya hasil perkahwinan bersama isteri ketiga.
Ujar Mawar lagi, arwah bapanya pernah mempunyai tiga orang isteri, dan ibunya adalah isteri yang kedua.
Malah, sejak dari kecil beliau tidak pernah pun berjumpa dengan adik-beradik daripada ibu isteri ketiga ini.
“Saya tak pernah jumpa adik-beradik daripada isteri nombor tiga. Mungkin pernah jumpa tapi lupa sebab masa itu sangat kecil, umur saya lima tahun.
“Ini kali pertama dapat berjumpa adik kandung saya selepas 23 tahun hilang. Dapat peluk, bercakap dan kenal antara satu sama lain dengan lebih mendalam,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Mawar juga menyifatkan pertemuan itu terlalu bermakna dan membuatkan dirinya cukup berasa bahagia.
“1001 perasaan yang tak dapat digambarkan dengan perkataan. Rasa terharu, rindu, kasih dan cinta sangat pada adik Mawar ini.
“Lebih-lebih lagi muka adik Mawar persis dan mirip seperti arwah Papa. Rindu sangat pada arwah.
“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Datuk Haji Wan Abdul Rashid,” kongsinya.
Sumber: Instagram