Teringin bergelar ibu di usia muda, pempengaruh Kasih Iris Leona mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, Leona akui kini masih solo dan belum mempunyai calon yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
“Saya merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun depan, namun setakat ini saya tiada calon lagi tetapi itu merupakan impian saya, harapnya perkara itu tercapai.
“Saya tahu masih muda tetapi saya memang nak jadi ibu pada usia begini sebab saya sangat sukakan kanak-kanak.
“Semuanya hanya harapan tapi kalau ada jodoh, jangan terkejut jika saya kahwin tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Leona juga akui susah untuk menemui lelaki yang dapat memenuhi kriteria malah tiada siapa yang mampu menawan hatinya.
“Jujurnya saya memang tiada calon langsung kerana terlampau sibuk dengan kerjaya demi mencari wang sehingga tiada masa mencari cinta mahupun keluar ‘dating’.
“Sebenarnya susah juga mahu cari teman hidup sebab standard saya sangat tinggi dan kebanyakannya tidak mencapai piawaian itu. Setakat ini tiada siapa mampu ‘impress’ saya.
“Saya suka orang yang matang dan lebih tua daripada saya, gigi kena teratur, tidak boleh berterabur. Soal rupa saya tidak kisah sebab kebanyakan bekas teman lelaki saya pun bukanlah kacak sangat. Personaliti lagi penting bagi saya,”tambahnya.
Sumber: Kosmo