IPT Perlu Ganti Latihan Industri Dengan Alternatif Lain – MQA

Latihan industri merupakan salah satu komponen wajib dalam pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT), bagi memberikan pengalaman dan persediaan buat para pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

ipt perlu ganti latihan industri dengan alternatif lain – mqa

Namun, ekoran daripada pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelaksanaan modul latihan industri mungkin terganggu kerana banyak syarikat yang perlu bekerja dari rumah dan ada juga yang tidak mengambil lagi penempatan pelajar untuk menjalani latihan industri. Maka, pihak IPT perlu mencari kaedah alternatif bagi menggantikan latihan industri khasnya dalam tempoh pandemik ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, perubahan itu perlu kerana jika IPT tetap kekal dengan penilaian berdasarkan latihan industri konvensional, ia akan menjejaskan pengajian pelajar yang terbabit.

 

"Kaedah alternatif itu bergantung kepada bidang program dan mesti memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.

"Kaedah lain yang boleh dipertimbangkan adalah seperti industry-based project, problem-based project, topical study atau research project. Aktiviti simulasi dan amali dalam bentuk maya, dalam talian mahupun 'remote' juga boleh dilaksanakan berdasarkan kesesuaian.

"Kaedah alternatif ini boleh dilaksanakan sebagai penggantian penuh atau sebagai pelengkap kepada latihan industri yang terpaksa dihentikan separuh jalan dan belum memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan," katanya.

 

Justeru, pihak IPT dan juga pelajar boleh merujuk Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa PKP yang dikeluarkan MQA pada 8 Feb lalu sebagai panduan termasuklah pengendalian pelaksanaan latihan industri.

ipt perlu ganti latihan industri dengan alternatif lain – mqa

"Dalam tempoh ini, IPT perlu memastikan pelajar dapat menerus dan menamatkan pengajian masing-masing walaupun berhadapan dengan situasi pandemik yang mencabar, masih mendapat kemahiran serta kompetensi yang diperlukan.

"Adalah penting dalam pelaksanaan latihan industri, arahan dan SOP pihak berkuasa dipatuhi sepenuhnya kerana keutamaan semasa adalah bagi membendung penularan COVID-19," katanya lagi seperti dipetik dari Astro Awani.

 

Sumber: Astro AWANI