KWSP i-Sinar: 2.5 Juta Permohonan Telah Diluluskan

kwsp i-sinar: 2.5 juta permohonan telah diluluskan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan pihaknya telah meluluskan 2.5 juta permohonan pengeluaran akaun 1 melalui i-Sinar. Jumlah itu adalah sebahagian daripada 3.88 juta permohonan bawah kategori 1 yang telah dibuka semenjak 21 Disember 2020 lalu.

Buat masa ini, KWSP telah meluluskan pengeluaran sejumlah RM19.62 billion dan pembayaran bulan pertama dijangka berjumlah RM10.07 bilion. Pembayaran akan dijalankan secara berperingkat mulai 5 Januari lepas.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan juga, sebahagian besar daripada 1.4 juta permohonan yang masih belum diluluskan merupakan mereka yang berada dalam Kategori 2. Untuk kategori tersebut, permohonan boleh dilakukan pada 11 Januari ini.

"Bagi ahli yang termasuk dalam Kategori 2, mereka disarankan untuk menyediakan dokumen yang berkaitan seperti slip gaji rasmi (yang memperincikan jumlah gaji termasuk elaun lebih masa dan komisen) dan / atau penyata bank, untuk dimuat naik di i-Sinar Online.

Untuk memastikan proses permohonan berjalan lancar dan pantas, ahli hendaklah memastikan semua dokumen yang dihantar adalah jelas, sah dan dapat menyokong permohonan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: BERNAMA