Kisah Tukang Kasut Di Ipoh Yang Kerja Keras Demi Cantikkan Kubur Isterinya

“Kami tidak mempunyai anak, jadi apa gunanya saya menjaga rumah?”

kisah tukang kasut di ipoh yang kerja keras demi cantikkan kubur isterinya

Itu kata Osman ketika dia ditemu ramah oleh salah satu akhbar tempatan.

Osman Sidek, berusia 63 tahun merupakan seorang tukang kasut yang tinggal di dalam sebuah gerai kecil yang terletak di Ipoh, Perak.

Di gerai kecil yang sama itu juga, dia menjalankan perniagaan membaiki kasut yang telah beroperasi lebih dari satu dekad.

Luah Osman, dia memutuskan untuk tinggal di gerai yang berukuran 1.8 meter x 1.2 meter itu berikutan kematian isterinya, Suhaila Shamsuddin pada Julai lalu.

Terangnya, gerai tersebut dibina dengan menggunakan wang yang diperoleh menerusi dana yang diberikan kepadanya.

“Isteri saya jatuh sakit 10 bulan sebelum kematiannya dan saya menghabiskan semua wang simpanan saya untuk mendapatkan barang keperluannya seperti lampin dewasa.”

Setelah Suhaila meninggal dunia, Osman meminta dana untuk membina gerai baru demi menggantikan gerainya yang terdahulu.

Ujarnya, “Saya berjaya mengumpulkan RM3,050 dan RM3,040 digunakan untuk membuat gerai ini.”

Susulan itu, gerai itu kemudiannya turut berfungsi sebagai tempat berteduhnya dengan semua barang disimpan di dalam kotak.

“Satu kotak adalah untuk pakaian saya, yang lain adalah untuk peralatan (membaiki kasut) saya sementara yang lain adalah untuk menyimpan barang-barang peribadi lain.”

Sementara itu, barang-barang yang lebih besar seperti perabot dan peralatan elektrik pula disumbangkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Akui dirinya pernah ditawarkan ruang oleh seorang ahli bisnes untuk tinggal tidak jauh dari gerainya itu, Osman berkata bahawa dia lebih suka tinggal di gerai tersebut.

Biarpun begitu, dia menggunakan ruang milik ahli bisnes itu untuk membersihkan dirinya selain untuk berdoa.

Kongsinya, rutin hariannya bermula dengan dia memulakan harinya sekitar jam 5 pagi.

Setelah selesai mandi dan solat, dia kemudiannya akan bersarapan di sebuah restoran berdekatan sebelum membuka gerainya pada jam 7:30 pagi.

Tambah Osman, dia mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM20 untuk membaiki sepasang kasut dan mampu menyiapkan dalam tempoh sesingkat 30 minit.

Namun, bayaran lebih banyak akan dikenakan sekiranya pembaikan kasut tersebut melibatkan kerja lebih.

Berkongsi mengenai sejarah peribadinya, Osman berasal dari Selangor dan hanya berpindah ke Perak setelah dicadangkan isterinya.

“Isteri saya mencadangkan kami pindah ke Perak memandangkan kami sudah tinggal di Selangor untuk satu tempoh yang agak lama.”

Awalnya mereka tinggal di Tapah sebelum berpindah pula ke Ipoh.

Sebelum arwah isterinya meninggal dunia, Osman hanya beroperasi selama enam hari dalam seminggu.

Namun, sejak pemergian isteri tercintanya itu, Osman difahamkan beroperasi pada setiap hari kecuali Ahad yang mana waktu operasinya bermula sekitar tengahari iaitu setelah dia selesai melawat kubur arwah isterinya di Tapah.

“Saya perlu bekerja keras kerana saya menyimpan wang untuk memperindah kubur isteri saya.”

Ketika ditanya berapa lama lagikah dia akan meneruskan perniagaan tersebut, kata Osman, “Selagi saya dapat meneruskan perniagaan, saya akan terus berada di sini. Alhamdulillah, saya masih sihat.”

Gerai membaiki kasut Osman terletak di persimpangan Jalan Sultan Nazrin Shah dan Jalan Rapat Jaya di hadapan Megoplex.

 

Sumber: [1]