‘Nak Jadi Influencer Boleh, Tapi Tolong Utamakan Pelajaran Juga’ - Nabila Razali

Penyanyi terkenal Nabila Razali menasihatkan golongan muda untuk sentiasa mengutamakan pelajaran walaupun ramai antara mereka kini mahu menjadi pempengaruh media sosial.

Menurutnya, tidak salah untuk menjadi seorang pempengaruh tetapi harus mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

“Mungkin ada sesetengah daripada anda yang merasakan pelajaran ini tidak penting, tak perlu ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan serta sudah tak sabar nak jadi influencer (pempengaruh) dan sebagainya.

“Bukan satu kesalahan menjadi seorang influencer tetapi pastikan mampu beri bermanfaat kepada orang-orang di luar sana.

“Gunakan platform itu sebaik mungkin tetapi jangan lupa, apa-apa yang kita buat pelajaran sangat penting,” katanya. 

Dalam pada itu, Nabila juga berpendapat bahawa pelajaran dan ilmu akan menjamin masa depan yang cerah. 

“Jangan lupa untuk terus belajar dan usah putus asa walau apapun keputusan yang kalian dapat.

“Kalian perlu yakin bahawa sedikit sebanyak ilmu itu akan membawa anda ke mana-mana nanti.

“Masa depan anda akan sangat cerah. Pentingkan pelajaran dulu dan jadikannya nombor satu,” tambahnya.

Sumber: Kosmo