Ingatkan Anjing, Bila Diperhati Rupanya Beruang Sesat Di Kawasan Kampung

Ingatkan anjing, rupanya beruang! Penduduk Kampung Jelutong, Malim Nawar gempar apabila melihat seekor beruang matahari masuk ke kawasan berkenaan. 

Menurut Mohamad Hanafi Musa, 27, dia pada awalnya hanya menyangka haiwan liar itu adalah anjing yang merayau-rayau. 

"Ketika kejadian itu, saya sedang menunggang motosikal sebelum ternampak kelibat seekor haiwan berwarna hitam di tepi jalan.

“Pada awal saya ingatkan ia anjing liar kerana saiznya yang besar. Kemudian, saya berhenti untuk melihat dengan lebih jelas sebelum menyedari ia adalah seekor beruang ketika ia berada bawah tiang lampu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Selepas dia dan rakan yang lain cuba untuk menjejaki beruang tersebut, namun beruang itu lari dan menghilangkan diri. 

"Perkara ini dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan selepas ini saya akan berhati-hati untuk keluar bekerja di kawasan kampung," ujarnya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff juga telah mengesahkan yang pohak mereka ada menerima laporan tentang hal tersebut dan meminta agar penduduk tidak mengambil tindakan sendiri jika ternampak haiwan itu. 

"Ini adalah laporan kedua yang diterima dalam tempoh dua minggu dan kakitangan Perhilitan telah diaturgerakkan ke lokasi aduan bagi mengesan haiwan terbabit. Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran," katanya.

"Sekiranya ternampak haiwan itu cuba jauh diri dan jaga jarak, jangan cuba tangkap serta tidak membuat provokasi," katanya.

 

Sumber: Awani