Ramai netizen Malaysia menjadi terhibur gara-gara gelagat seorang idola K-Pop terkenal, Samuel Kim, 20, yang dilaporkan telah berada di negara ini lebih dari sebulan.
Samuel pertama kali berkongsi yang dia tiba di Malaysia sekitar 28 Jun lalu menerusi satu hantaran ringkas di TikTok yang tertulis, “Saya berada di Malaysia.”
Bagaimanapun, sejak itu, makin banyak pula video TikTok yang dilakukannya sehingga ramai netizen meninggalkan komen yang mengatakan mereka terhibur melihat keletah spontannya sepanjang berada di negara ini.
Antaranya termasuk dirinya yang dilihat sedang memakan snek popular tempatan, Super Ring selain meminum air teh o ais ikat tepi ketika berada di tepi kolam renang tempatnya tinggal di negara ini.
“Dia ni duduk di Malaysia makin menjadi-jadi perangainya,” usik seorang pengguna TikTok di ruang komennya.
“Bang, jom pergi tengok Mat Kilau sama-sama,” kata pengguna lain.
“Alang-alang dah dekat Malaysia ni, jom la lepak mamak bang,” usik pengguna lain yang melawak dengannya.
Samuel mula menempa populariti selepas menyertai program realiti TV, Produce 101 musim kedua pada 2017.
Pada tahun sama, dia melakukan kemunculan sulung sebagai penyanyi solo menerusi album mini pertama, ‘Sixteen’.
Dia dipercayai berada di Malaysia untuk merakamkan lagu terbaru berikutan beberapa hantaran di TikTok memperlihatkan dirinya berada di dalam studio.
Sumber: TikTok