Tiada Perubahan Baharu, Format Peperiksaan SPM2020 Kekal

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tidak perlu bimbang kononnya format baharu peperiksaan itu bakal digunakan tahun ini kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menegaskan format SPM 2020 masih kekal seperti sedia ada.

tiada perubahan baharu, format peperiksaan spm2020 kekal

LPM menafikan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan SPM pada masa hadapan dan LPM tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.

 

Menurut satu kenyataan dari LPM, tajuk dan laporan akhbar berbahasa Melayu itu telah menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM 2020.

 

"Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai," menurutnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar berkenaan telah menyiarkan laporan "Wajah Baharu SPM" di muka hadapan, "SPM Bakal Dirombak" di muka surat dua dan "Peperiksaan Boleh Buka Buku" di muka surat tiga, menyebabkan ramai yang keliru khasnya calon SPM 2020.

 

SPM 2020 bakal diadakan pada 22, 23, 24, 25 Februari dan 1 Mac 2021, berdasarkan jadual waktu peperiksaan bertulis SPM yang dikeluarkan oleh LPM.

 

Sumber: Astro Awani / BERNAMA